International Day Of Mathematics 2020 | INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
» NEWS » International Day of Mathematics 2020

International Day of Mathematics 2020

Pada 6 Mac 2020 – Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) menyambut International Day of Mathematics (IDM) dengan penuh simbolik. Selaras dengan pengisytiharan 14 Mac setiap tahun sebagai IDM oleh UNESCO. INSPEM menyambutnya dengan menganjurkan Seminar Khas Etnomatematik di Bilik Seminar al-Farabi, INSPEM. Penganjuran ini juga telah didaftarkan di dalam laman sesawang The International Day of Mathematics. Seminar ini dianjurkan dengan menjemput YBhg. Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain dari Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya. Beliau merupakan anak Melayu pertama memperolehi ijazah PhD dalam bidang metematik. Beliau dikurniakan ijazah PhD pada tahun 1974 bertajuk The Formulation of Quantum Action Principle via Gateaux Variation oleh La Trobe University, Melbourne, Australia.

Gambar 1 Logo International Day of Mathematics


Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain telah membentangkan seminar yang bertajuk Nyayasastera, Hetuwidya dan Mantik dalam bahasa Melayu mendahului Logic dalam bahasa Inggeris terutamanya sehingga abad ke-18M. Dalam pembentangan tersebut, beliau cuba membuktikan bahawa cabang ilmu mantik (logik) telah lama wujud dalam bahasa Melayu dan mendahului ilmu logik yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Pada permulaannya, Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain menjelaskan mengenai sumber ilmu itu yang boleh dikaji melalui aksara kuno bahasa Melayu. Beliau menyatakan bahasa Melayu mempunyai 3 set aksara kuno yang pernah digunakan oleh masyarakat Malayonesia. Set aksara tersebut ialah huruf rencong (sejak abad ke-3M), huruf Palawa (mulai abad ke-4M) dan kemudiannya tulisan jawi (mula akhir abad ke-13M).

Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain membuktikan bahawa terdapat perkataan / istilah asas yang ditemui dalam prasasti lama berbahasa Melayu yang mempunyai nilai mantik dan pengkuantiti. Sebagai contoh, istilah seperti nyanyasastera (nyanya=adil; sastera=penulisan, ilmu) dan hetuwidya (hetu=maka, kerana, oleh sebab itu; widya=ilmu) dijumpai daripada prasasti bahasa Melayu abad ke-7M hingga abad ke-10M, manakala karya-karya mantik dalam bahasa Arab-Melayu tertua dijumpai seawal abad ke-16M. Jumpaan ini menunjukkan bahawa istilah atau karya dalam ilmu mantik di Malayonesia ini telah mendahului bidang logik yang diperkenalkan oleh barat, yang lebih popular dikenali sebagai logik Aristotle.


Gambar 2 Prof Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain sedang menyampaikan seminar


Menurut Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain, istilah asas utama nyanyasastera hetuwidya / takka yang kini lebih dikenali sebagai mantik atau logik mengaplikasikan kata sendi seperti DAN, ATAU dan JIKA. Manakala istilah andaian / premis / sebab / penyebab pada masa sekarang menggunakan istilah MAKA. Untuk mengetengahkan konsep kuantiti, kata pengkuantiti yang digunakan pada masa sekarang adalah seperti SETIAP, SEMUA, SETENGAH, BARANG / SEBARANG. Bagi membincangkan kewujudan sesuatu elemen kata pewujud seperti ADA / WUJUD / UJUD digunakan. Seterusnya, untuk menafikan sesuatu hujah, kata penafian yang digunakan pada masa sekarang adalah TIDAK /TAK /BUKAN.

Jadual 1 menunjukkan beberapa jumpaan istilah asas mantik yang didapati pada prasasti berbahasa Melayu;

 

Jadual 1: Senarai Istilah Mantik Melayu moden, Melayu kuno dan Inggeris

Bil.

Istilah Moden

Istilah mantik lama

Prasasti (Masihi)

Istilah Inggeris (Masihi)

1

dan

dangan / dngan

Pra. Campa-Vietnam (400M)

and, ond (901M)

2

lain-lain

ityewamadi

Pra. Phu Qui (889M)

 

3

juga

tathapi

Pra. Talang Tuwo (684M)

 

4

atau

ya va

Pra. Cakravantin (1088M)

or (1200M)

5

jika

grang

Pra. Kota Kapur (686M)

if, gif, gef (900M)

 

 

siy

Pra. Bo Mong (889M)

 

6

maka

maka / makapun

Pra. Kota Kapur (686M)

 

 

 

 

Pra. Mi Son XXI (1088M)

 

 

 

 

Pra. Po Nagar (1050M)

 

7

oleh sebab itu

hetu

Pra. Tiang Mi Son (1056M)

 

8

kerana

karana

Pra. Talang Tuwo (684M)

then, þanne, þænne, þonne, (900M)

9

semua / setiap

sawanakna,

Pra. Talang Tuwo (684M)

every, alnaz

 

 

sarwwa, parawi

Pra. Talang Tuwo (684M)

 

 

 

dom, sarvva

Pra. Ban Lanh(898M)

 

 

 

yathu

Pra. Bien-Hoa (1441M)

 

10

ada

yambhu, muah

Pra. Talang Tuwo (684M)

exist, existere (1600M)

 

 

mada

Pra. Ban Lanh (898M)

 

11

semoga,

ya, ya siy

Pra. Dong Yuan (400M)

may, mæg (900M)

 

moga-moga,

 

Pra. Talang Tuwo (684M)

 

 

mudah-mudahan

ya siy

Pra. Hoa Que (909M)

 

 

tiada / tak /

tada, vukan

Pra. Talang Tuwo (684M)

no, not, neither,

 

tidak / bukan

 

 

nor (1300M)

 

a-/an

 

 

 


Sila rujuk kepada baris terakhir dalam Jadual 1. Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain menjelaskan bahawa perkataan bahasa Melayu yang menggunakan awalan a-/an- adalah penafian kepada perkataan asal. Antara contoh yang terdapat dalam bahasa Melayu moden ialah; aniaya (tidak adil, menyeksa) lawan nyaya (adil), apeduli (tiada perhatian) lawan peduli (perhatian), ajara (tidak tua) lawan jara (tua), agama (teratur) lawan gama (tidak teratur), aduka (gembira) lawan duka (sedih), dan sebagainya lagi. Prof Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain juga memperkaya bahasa Melayu moden dengan memperkenalkan perkataan aberkala. Istilah ini membawa maksud tidak berkala; suatu terma yang sering diguna dalam pengajian matematik zaman moden ini yang terjemahannya dalam bahasa Inggerisnya adalah aperiodical.

Gambar 3 Prasasti Kedukan Bukit, 638M


Daripada etimologi bahasa yang dibentangkan ini, ianya menunjukkan istilah mantik yang terbit dalam bahasa Melayu kuno ini digunakan lebih awal daripada istilah mantik yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Dapatan yang dikemukakan oleh Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain ini telah membuka ruang bagi pengkaji meneruskan kajian mengenai etnomatematik dan bahasa serta seterusnya dapat menambahkan lagi korpus dalam ilmu matematik. Kajian mengenai bidang keilmuan yang wujud dalam bahasa Melayu kuno ini masih lagi boleh dikembangkan oleh pengkaji sekarang.

Gambar 4 Majlis penyampaian cenderamata kepada penceramah

Gambar 5 Sesi bergambar bersama peserta Seminar Khas Etnomatematik


Sambutan International Day of Mathematics pada 14 Mac setiap tahun akan menjadi salah satu tarikan dan sumber promosi dalam menggalakkan masyarakat meminati matematik. Pada tahun 2020, penganjuran IDM oleh INSPEM telah memperkenalkan bidang etnomatematik yang merupakan salah satu cabang bidang matematik yang dipelopori oleh INSPEM. Bidang etnomatematik boleh menjadi asbab kepada meningkatnya motivasi masyarakat untuk mendalami ilmu matematik. INSPEM akan terus menggunakan platform IDM untuk mempromosi serta membudayakan ilmu matematik dikalangan ahli masyarakat agar objektif INSPEM untuk menjadi penggerak masyarakat berbudaya analitis holistik akan tercapai.

Date of Input: 18/04/2020 | Updated: 19/04/2020 | noorizzati

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769-6878
00-0000-0000
C1591131068