Prof. Dr. Nazamid Bin Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM Merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan INSPEM Ke-20 | INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
» NEWS » Prof. Dr. Nazamid bin Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan INSPEM ke-20

Prof. Dr. Nazamid bin Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan INSPEM ke-20

SERDANG -  Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah meraikan Sambutan Ulang Tahun Penubuhannya yang ke-20 pada 24, 26, 30, 31 Mac dan 1 April 2022.  Program sambutan ulang tahun ini akan diadakan selama lima (5) hari dengan aktiviti seperti sesi Liputan Media Ke INSPEM Berkenaan Kapal Mendam Berahi Utama Kerajaan Kesultanan Melaka Abad Ke-15M, Sesi Dialog Khas bersama Dr Aid Fawzal - Fawzal Number and Supercars - The Story, Pertandingan Poster Penyelidikan Pelajar, INSPEM Postgraduate  Virtual Open Day, Bicara Naratif – Kelangsungan Sains Bermatematik Mendepani Masa Hadapan, sesi penyerahan dokumen dari beberapa rakan industri kepada INSPEM, Majlis Pelancaran Coffee Table Book INSPEM, Seminar Mingguan INSPEM Kali Ke-938 (13/2022) - Khas bersama YBhg. Prof. Ts. Dr. M. Iqbal bin Saripan dan  pelbagai lagi.

 

Sebagai latar belakang – INSPEM merupakan sebuah institusi penyelidikan yang fungsinya mengkhusus kepada penyelidikan dalam bidang matematik dan juga bidang yang sebahagian besar komponennya melibatkan bidang matematik. Ianya ditubuhkan untuk mengisi keperluan sebuah pusat penyelidikan matematik di negara kita. INSPEM mula beroperasi pada 1 April 2002 setelah diluluskan penubuhannya oleh Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia pada bulan November 2001. INSPEM telah menyumbang usaha untuk mempertingkatkan kedudukan QS Ranking UPM. Pada tahun 2017, 2018, 2019 dan 2020 kedudukan subjek QS – Matematik UPM berada pada kedudukan 201 – 250.

Majlis sambutan ini dimulakan pada 24 Mac 2022 dengan Liputan Media Ke INSPEM Berkenaan Kapal Mendam Berahi Utama Kerajaan Kesultanan Melaka Abad Ke-15M. Prof. Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin dan Prof. Madya Dr. Rohaidah Kamaruddin, Ketua, Laboratori Etnomatematik dan Didaktik telah meneraju sesi ini. Pihak media telah dimaklumkan akan usaha INSPEM untuk menghasilkan blueprint sebagai rujukan usaha pihak-pihak yang ingin membangunkan semula kapal ini. Usaha membangunkan blueprint ini penting kerana ukuran kuno dalam manuskrip lama perlu dinilai dalam system metrik moden. Oleh itu, suatu formulasi yang tepat perlu dihasilkan. Berita ini telah diterbitkan dalam Sinar Harian dan Harian Metro keesokan harinya.


Prof. Madya Dr. Rohaidah Kamaruddin (kanan) dan Prof. Dr. Muhammad Rezal Kamel Ariffin
menunjukkan replika kapal Mendam Berahi


Seterusnya pada 26 Macc 2022,  Sesi Dialog Khas bersama Dr. Ahmad Syahid Ahmad Fawzal (Dr. Aid Fawzal) yang membawa tajuk Fawzal Number and Supercars - The Story dilaksanakan secara atas talian melalui Aplikasi Zoom.  Beliau merupakan pencipta konsep Nombor Fawzal yang digunakan oleh pengeluar supercars dan hypercar yang terkemuka. Seramai 60 orang peserta yang menyertai sesi dialog khas ini. Sesi yang berlangsung 2 jam ini telah memberi input kepada para penyelidik dan pelajar aspek penyelidikan, perindustrian dan jaringan yang mungkin dilakukan dengan industry hypercar di Eropah.


Sesi Dialog Khas bersama Dr. Ahmad Syahid Ahmad Fawzal (Dr. Aid Fawzal)

 

Berikutnya, INSPEM mengadakan Pertandingan Poster Penyelidikan Pelajar bertemakan Infographic Poster Challenge for Mathematics Unites pada sesi pagi 30 Mac 2022. Sebanyak 15 poster telah dipertandingkan. Pemenang telah diumumkan pada 1 April 2022 sempena perasmian Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan INSPEM ke-20.

 

Pada sesi petang 30 Mac 2022, Program INSPEM Postgraduate  Virtual Open Day 2022 diadakan secara dalam talian. Program ini berjaya mendapat sambutan hangat dari bakal pelajar, serta orang awam.   Hampir 50 pelawat dari dalam dan luar negara  hadir dalam program ini dan  sedikit sebanyak membantu bakal pelajar untuk lebih mendekati INSPEM dan mendapat lebih maklumat tentang program yang ditawarkan.

Keesokan harinya pada 31 Mac 2022, Program Bicara Naratif : Kelangsungan Sains Bermatematik Mendepani Masa Hadapan diadakan di Dewan Taklimat Serdang, UPM. Bicara naratif telah menampilkan lima tokoh tersohor negara dalam bidang matematik dan bermatematik iaitu YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Kamel Ariffin Mohd Atan (Presiden Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM)), YBrs. Ts. Dr. Solahuddin bin Shamsuddin (Ketua Pegawai Teknologi (CTO), CyberSecurity Malaysia (CSM)), YBhg. Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain (Felo Kehormat, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)), YBrs. Puan Mah Kam Lin (Group Data Scientist, Malayan Banking Berhad (Maybank)) dan YBrs. Ts. Ahmad Hadzramin Abdul Rahman (Pengarah Urusan, OR Technologies Sdn. Bhd). Tokoh ini telah diwawancara di dalam program Bicara Naratif yang disiarkan di media sosial INSPEM dan UPM.

Kemuncaknya pada 1 April 2022, YBhg. Prof. Dr. Nazamid bin Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Putra Malaysia telah merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan INSPEM ke-20. “Sepanjang dua puluh tahun INSPEM telah berkembang maju dan mengukuhkan reputasi mereka di dalam negara dan di peringkat antarabangsa” katanya.


YBhg. Prof. Dr. Nazamid bin Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM telah merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan INSPEM ke-20

 

Turut hadir Prof. Dr. Muhammad Rezal Dato’ Kamel Arrifin, Pengarah INSPEM, Prof. Dr. Lee Lai Soon, Timbalan Pengarah INSPEM, Prof Emeritus Dato’ Dr. Kamel Ariffin Mohd Atan, Presiden Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM), Tan Sri Dato’ Dr. Kamal Salih, Pengerusi Eksekutif Yayasan Makhota, Encik Wan Shafiuddin bin Zainudin selaku Ketua Badan Persijilan Keselamatan Maklumat, CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Encik Lee Weng Wah, Senior Vice President ACGT Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat kepada Genting Plantations Bhd.  Sesi pertukaran dokumen kerjasama dengan organisasi tersebut telah diadakan untuk mengukuhkan hubungan dua hala INSPEM dan rakan strategik industri.

Majlis Pelancaran Coffee Table Book INSPEM turut diadakan. Coffee Table Book INSPEM yang setebal hampir 400 muka surat, merupakan suatu dokumen infografik tentang perjalanan INSPEM dari 2002 hingga 2022. YBhg. Prof. Dr. Nazamid bin Saari telah melancarkan buku tersebut.


Majlis Pelancaran Coffee Table Book INSPEM

 

Para pemenang Infographic Poster Challenge for Mathematics Unites telah dimumkan pada sesi ini. Pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM 250 dengan poster yang bertajuk Applications of Mathematics dimenangi oleh En. Ting Kien Hua. Manakala pemenang tempat kedua, menerima tunai sebanyak RM200 beserta sijil, dengan poster yang bertajuk: How Can We Make Use of Mathematics? Yang dimenangi oleh  Cik Nur Hazirah Binti Husin. Tempat ketiga, menerima tunai sebanyak RM150 beserta sijil dengan poster yang bertajuk Wythoff’s Game dimenangi oleh En. Low Chee Wai.  Seterusnya, bagi tiga hadiah saguhati, akan menerima tunai sebanyak RM100 beserta sijil, pemenangnya adalah En. Abdullah Mohammed Rashid, Cik Nurul Amiera Sakinah binti Abdul Jamal, Cik Vaishnavi A/P Nagaraja dan Cik Siti Nabilah Binti Yusof.


Pemenang tempat pertama

 

Di akhir program sambutan ini, majlis ini diteruskan dengan penganjuran Seminar Mingguan INSPEM Kali ke-938 (13/2022) – Khas. Penceramah jemputan Prof. Ts. Dr. M. Iqbal bin Saripan yang membawa tajuk Merungkai Peranan Universiti di dalam Dunia VUCA. Seramai 80 orang yang terdiri daripada pelajar dan penyelidik telah menyertai seminar secara dalam talian ini. Seminar mingguan INSPEM ini merupakan siri seminar yang dianjurkan sejak 7 Ogos 2002 dan menjadi tradisi majlis perkongsian ilmu setiap minggu.

 

 

Date of Input: 15/04/2022 | Updated: 15/04/2022 | noorizzati

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769-6878
00-0000-0000
SXDdVAQ~