Tiga (3) Pelajar INSPEM Sertai Program Mobiliti Di Politecnico Di Torino, Italy | INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK
» BERITA » Tiga (3) pelajar INSPEM sertai program mobiliti di Politecnico di Torino, Italy

Tiga (3) pelajar INSPEM sertai program mobiliti di Politecnico di Torino, Italy

SERDANG - Penularan pandemik COVID-19 tidak menjejaskan hubungan kerjasama antara Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM dan Politecnico di Torino, ITALY untuk meneruskan aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah termeterai. Salah satu aktiviti di bawah MoU tersebut adalah program pertukaran pelajar siswazah antara kedua-dua institusi.

Untuk rekod, sejak 2017, INSPEM telah menghantar pelajar siswazah INSPEM untuk menjalani beberapa program mobiliti di luar negara seperti ke Italy, Germany, China dan pelbagai lagi. Program ini merupakan satu platform yang baik untuk pelajar mendapat pendedahan mengenai pengalaman belajar dan menjalankan penyelidikan di luar negara. Pengalaman ini semestinya menjadi pemacu dalam menjayakan pengajian masing-masing dan membuka kepada lebih banyak rangkaian dan kerjasama penyelidikan pada masa akan datang untuk pelajar dan INSPEM juga.

Pada tahun ini, tiga (3) pelajar ijazah kedoktoran INSPEM, En. Kathiresan Gopal, En. Choong Pak Shen dan Cik Nur Hazirah Hussin  telah mengikuti program mobiliti (outbound) ke Politecnico di Torino, Italy bermula pada 6 Mac – 24 Julai 2022.  Penyelia pelajar di INSPEM adalah Prof. Dr. Lee Lai Soon, Prof. Madya Dr. Hishamuddin Zainuddin dan  Prof. Madya Dr. Nik Mohd Asri Nik Long. Program ini menggunakan peruntukan Erasmus+

Pelajar ini berkongsi  perasaan teruja menyertai program ini. Di sini, beliau berkata program mobiliti ini membolehkan pelajar mempelajari budaya negara asing selain ilmu yang diceburi.

“Program mobiliti ini merupakan pengalaman pembelajaran yang unik untuk pelajar antarabangsa seperti pendedahan kepada aspek budaya, ekonomi, politik, pendidikan dan ekologi. Kami akan manfaatkan sepenuhnya pengalaman belajar singkat di luar negara, berkawan sepanjang hayat, dan bersedia untuk kerjaya global semasa anda menyertai program mobiliti di Malaysia” kata mereka.

Pendedahan pelajar kepada persekitaran yang baharu ini telah dapat memperluas kemahiran interaksi sosial antarabangsa serta memperkaya pengalaman pembelajaran mereka. Manfaat sebegini telah memberi pelajar pelbagai kemahiran baharu sama ada sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan mereka yang sedia ada mahupun kemahiran sebagai ahli masyarakat global yang mempunyai peranan di arena antarabangsa. Adalah diharapkan pelajar yang menjalani program mobiliti akan menjadi pemangkin kearah kelestarian penyelidikan saintifik yang akan membawa kepada kesejahteraan kepada agama, bangsa dan negara.

Tarikh Input: 12/05/2022 | Kemaskini: 12/05/2022 | noorizzati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769-6878
00-0000-0000
SXDcVAa~