
Oleh: Aimi Mohamad Farid
Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 15 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh ekosistem penyelidikannya menerusi pelancaran Kemudahan Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (High Performance Computing, HPC) di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) bagi menyokong penyelidikan berintensif data, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi merentas pelbagai disiplin.
Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata kemudahan HPC berupaya memperkukuh penyelidikan UPM dan meningkatkan impaknya kepada universiti serta negara.
“Kita perlu mewujudkan ekosistem dan tadbir urus supaya kita bukan sahaja menjejak operasi dan penyampaian perkhidmatan, tetapi juga dapat menceritakan impak sebenar penyelidikan yang dihasilkan melalui kemudahan ini.

“Kemudahan ini perlu menjadi salah satu kekuatan UPM dalam menarik penyelidik, pelajar dan rakan industri, di samping memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah INSPEM, Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali, berkata HPC dibangunkan bagi memenuhi keperluan penyelidikan moden yang memerlukan keupayaan pemprosesan data berprestasi tinggi, khususnya dalam bidang AI, simulasi kompleks dan analisis data berskala besar.
“Objektif utama HPC adalah memproses data yang besar dalam masa yang singkat. Ia bukan satu perkakasan sahaja, tetapi gabungan beberapa komponen seperti CPU, GPU, storan dan rangkaian yang bekerja secara selari,” katanya.
Beliau turut berkata HPC dan cloud computing saling melengkapi, namun HPC lebih sesuai digunakan bagi penyelidikan yang melibatkan pemprosesan data intensif kerana menawarkan penyelesaian yang lebih cekap dan menjimatkan kos jangka panjang.
Kemudahan HPC itu menyediakan keupayaan pengkomputeran berprestasi tinggi yang membolehkan penyelidik menjalankan simulasi kompleks, analisis data berskala besar dan pembangunan aplikasi AI dengan lebih pantas serta cekap.
Selain dimanfaatkan oleh penyelidik INSPEM, kemudahan itu turut dibuka kepada penyelidik daripada fakulti dan institut lain di UPM bagi memperkukuh penyelidikan rentas disiplin serta menggalakkan kerjasama dengan industri.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah INSPEM, Prof. Madya Dr. Nor Asilah Wati Abdul Hamid, berkata kemudahan HPC membantu memenuhi keperluan penyelidikan yang semakin bergantung kepada penggunaan data dan teknologi AI.
"Kemudahan ini membantu penyelidik memproses data dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan kecekapan penyelidikan," katanya.
Kemudahan HPC yang dibangunkan menerusi peruntukan RM2.2 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 itu dijangka menjadi pemangkin kepada penyelidikan berimpak tinggi serta memperkukuh kolaborasi UPM dengan institusi akademik, agensi kerajaan dan industri.
Date of Input: 15/07/2026 | Updated: 15/07/2026 | norhidayahche

Institute for Mathematical Research, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang Selangor