Bengkel Bestnya! Melukis Komik
Tarikh: 19 september 2024
Tempat: Bilik Seminar Al-Farabi, Bangunan INSPEM
Laboratori Matematik Berkomputasi dan Etnomatematik, Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama pelukis komik terkenal, Irfan Foner, telah menganjurkan Bengkel Bestnya! Melukis Komik bertemakan cinta Matematik sempena cuti sekolah. Bengkel ini disertai seramai 46 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun. Program yang diadakan selama dua jam itu bertujuan untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap Matematik melalui pendekatan kreatif dan interaktif. Irfan Foner, seorang pelukis komik berpengalaman dan pengasas bersama Comichat Enterprise, menggunakan kemahiran beliau untuk mengajar teknik asas melukis komik sambil menyelitkan unsur-unsur Matematik dalam penceritaan.
INSPEM berharap bengkel ini dapat menyemai rasa cinta terhadap Matematik dan membina keyakinan kanak-kanak untuk terus meneroka subjek ini dengan cara yang kreatif dan inovatif. Bengkel ini turut mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa yang menyaksikan anak-anak mereka meluahkan kreativiti sambil belajar. Pameran jualan buku oleh Irfan Foner turut diadakan dalam program ini dan mendapat sambutan di kalangan peserta dan ibu bapa.
INSPEM berhasrat untuk meneruskan bengkel sebegini pada masa akan datang, dengan tema yang lebih menarik untuk memastikan pendidikan Matematik kekal relevan dan menyeronokkan bagi generasi muda.
Disediakan oleh:
Mohamed Faris Laham

Gambar: Para peserta bengkel bergambar bersama pelukis komik, Irfan Foner dan Pengarah INSPEM, YBhg. Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali.
Tarikh Input: 09/10/2024 | Kemaskini: 09/10/2024 | norhidayahche

Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang Selangor