Taiping, 4 - 5 Oktober 2025 – Program Jalinan Kem Matematik INSPEM–SERATAS 2025 anjuran Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya dilaksanakan pada 4 hingga 5 Oktober 2025 bertempat di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taiping, Perak.
Program ini menghimpunkan seramai 118 murid Tingkatan Dua dengan objektif utama untuk menarik minat mereka terhadap Matematik serta membantu melihat subjek tersebut daripada perspektif yang lebih menyeronokkan, kreatif dan dekat dengan kehidupan seharian.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti interaktif dijalankan bagi menggalakkan murid meneroka idea, berfikir secara kritikal dan bekerjasama dalam kumpulan. Melalui pendekatan pembelajaran aktif dan kolaboratif berasaskan permainan, peserta didedahkan dengan cara pembelajaran Matematik yang menyeronokkan dan mencabar minda.
Program ini dikendalikan oleh tujuh orang pensyarah dan tujuh orang Pegawai Penyelidik INSPEM, UPM yang berperanan sebagai fasilitator. Penglibatan tenaga akademik dan penyelidik ini memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna, selain menunjukkan aplikasi Matematik dalam pelbagai bidang penyelidikan dan kehidupan sebenar.
Penganjuran Kem Matematik ini bukan sahaja memperkukuh hubungan jalinan antara INSPEM dan SERATAS, malah turut menyokong usaha memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada usia muda.
Dengan semangat dan kerjasama semua pihak, program ini diharap dapat melahirkan generasi pelajar yang lebih kreatif, kritikal dan berkeyakinan dalam mendekati dunia Matematik yang luas dan menarik.

Tarikh Input: 10/10/2025 | Kemaskini: 10/10/2025 | norhidayahche

Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang Selangor