Mengurus Bajet 2019 Anda Dan Keluarga | INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK
» ARTIKEL » Mengurus Bajet 2019 Anda dan Keluarga

Mengurus Bajet 2019 Anda dan Keluarga

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri


Tahun 2018 semakin mengakhiri penghujungnya dan beberapa hari lagi tahun 2019 bakal menjelang tiba. Biasanya setiap kali menyambut tahun baharu sudah pasti semua individu dan keluarga mempunyai azam mereka tersendiri sama ada meneruskan azam 2018 yang belum tercapai ataupun sebaliknya. Minggu terakhir penghujung tahun merupakan masa terbaik untuk kita semua menilai  kembali pencapaian yang telah dikecapi sepanjang tahun 2018. Ada kemungkinan semua yang dirancang dapat dicapai sepenuhnya atau sebahagiannya mahupun sebaliknya. Maklumat ini perlu untuk membantu kita merancang strategi terbaik bagi memastikan ianya dapat dicapai sepenuhnya pada tahun 2019 termasuk aspek kewangan diri dan keluarga.


Umumnya, terdapat lima (5) langkah dalam proses perancangan kewangan peribadi iaitu menilai kedudukan kewangan semasa, menetapkan matlamat kewangan, menyediakan pelan kewangan, melaksanakan pelan kewangan dan memantau serta menilai semula pelan kewangan. Sekiranya banyak matlamat kewangan tidak tercapai dan kedudukan kewangan semasa kurang baik, anda perlu melakukan pengubahsuaian ke atas corak pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan hutang anda. Tindakan ini dilihat sebagai satu mekanisme maklum balas ke arah pencapaian matlamat dan kedudukan kewangan yang baik bagi tahun berikutnya.


Segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan dalam perancangan dan pengurusan bajet 2018 dapat digunakan sebagai maklum balas semasa merangka bajet 2019 anda dan keluarga. Berikut merupakan antara kesilapan yang biasanya dilakukan berkaitan perancangan dan pengurusan bajet (belanjawan) diri dan keluarga:

  • Jumlah peruntukan kewangan tidak sesuai dengan jumlah pendapatan yang diterima
  • Tidak berbelanja mengikut apa yang telah diagihkan (peruntukan) – tidak disiplin semasa berbelanja
  • Bajet yang disediakan tidak ideal
  • Tidak melibatkan dan tiada perbincangan bersama pasangan (bagi yang berkeluarga) ketika merangka bajet
  • Tidak mengambilkira perbelanjaan bermusim misalnya belanja persiapan persekolahan anak, belanja musim cuti persekolahan dan belanja musim cuti perayaan.
  • Terlupa membuat agihan untuk perbelanjaan sekali sekala seperti insurans dan cukai jalan.
  • Tidak memperuntukkan agihan untuk simpanan bulanan atau simpanan kecemasan
  • Tiada agihan untuk item pendidikan anak-anak
  • Utamakan perbelanjaan yang kurang penting dan tidak perlu

 

Bagi memudahkan individu dan keluarga dalam merancang dan menyediakan bajet untuk tahun 2019, berikut dicadangkan peratusan agihan mengikut item perbelanjaan yang boleh dijadikan sebagai panduan. Untuk memudahkan perbincangan, mari kita lihat senario di mana seorang individu atau isi rumah yang berada dalam kategori pendapatan isi rumah M40 di mana pendapatan bulanan yang diterima adalah sekitar RM5,000.00.

 

Item Perbelanjaan

% Minimum

Anggaran Jumlah

Simpanan & Pelaburan

10%

500.00

Perumahan

25%

1,250.00

Makanan

15%

750.00

Utiliti (Bil-bil)

5%

250.00

Kenderaan/Pengangkutan

10%

500.00

Insuran/takaful/kesihatan

10%

500.00

Pakaian & Rekreasi

2.5%

125.00

Pendidikan

10%

500.00

Pemberian (sedekah/infak)

2.5%

125.00

Perbelanjaan bermusim (cuti sekolah/perayaan)

10%

500.00

Jumlah

100%

5,000.00


Anda bebas (fleksibel) untuk menentukan peratusan minimum agihan yang sesuai mengikut kemampuan dan kedudukan kewangan semasa anda dan keluarga. Peratusan minimum di atas adalah sekadar cadangan berdasarkan nasihat daripada pakar kewangan. Sekiranya anda merasakan agihan untuk item perumahan terlalu tinggi, anda boleh kurangkan peratusan tersebut daripada 25% kepada 20%. Lebihan 5% tersebut boleh digunakan untuk tingkatkan agihan ke atas simpanan iaitu daripada 10% kepada 15% atau ke atas item perbelanjaan lain. Begitu juga dari segi item perbelanjaan di mana anda boleh tambah atau kurangkan item perbelanjaan mengikut kesesuaian dengan belanjawan anda dan keluarga.


Untuk memastikan bajet tahun 2019 tercapai, anda dan keluarga perlu mengelak daripada melakukan kesalahan dan kesilapan daripada perancangan dan pengurusan bajet tahun terdahulu. Tanamkan azam untuk tahun 2019 iaitu kurangkan perbelanjaan dan tingkatkan simpanan. Selamat Maju Jaya !!.


Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 15/02/2019 | Kemaskini: 18/02/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769-6878
00-0000-0000
SXDdVAx~