METASEMESTA DAN TRANSFORMASI PEMBELAJARAN MATEMATIK
Istilah metasemesta (metaverse) diperkenalkan oleh pengarang Neal Stephenson melalui novel yang bertajuk Snow Crash yang diterbitkan pada tahun 1992. Dalam karya ini, beliau membayangkan satu bentuk multisemesta maya, iaitu dunia digital bersama yang membolehkan manusia berinteraksi dan memperoleh pengalaman seakan-akan dunia sebenar.
Menurut Chiang et al. (2015), metasemesta boleh difahami sebagai kesinambungan kepada teknologi realiti maya (VR) dan realiti tertambah (AR). Melalui gabungan kedua-dua konsep ini, metasemesta membolehkan pengguna berinteraksi dengan objek maya seperti avatar dalam persekitaran digital yang lebih sosial, simulatif dan kolaboratif berbanding dengan pendekatan konvensional yang lazimnya bersifat individu.
Sebagai gambaran, seorang pelajar yang diterima masuk ke University of Cambridge boleh mengikuti pengajiannya secara maya melalui metasemesta. Pelajar tersebut berpeluang menghadiri kuliah, berinteraksi dengan rakan universiti, membeli barangan di kedai dan mengemaskan pakaian rasmi universiti yang kesemuanya dalam bentuk simulasi digital kampus sebenar.
Seiring dengan perkembangan teknologi, aplikasi metasemesta kini telah merentas pelbagai bidang. Antaranya termasuklah perubatan, pengangkutan, perniagaan dan pendidikan.
Penggunaan metasemesta dalam sektor pendidikan dilihat membuka peluang baharu dalam membentuk pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeluruh. Melalui pelibatan langsung dalam aktiviti maya, pelajar bukan sahaja dapat bermain atau menghadiri mesyuarat secara maya, malah dapat belajar dalam suasana yang mendekati pengalaman sebenar.
Menurut Zahra et al. (2021), metasemesta berupaya menyediakan pembelajaran yang lebih menarik dan memenuhi keperluan gaya pembelajaran yang pelbagai. Platform ini turut membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan kepada jumlah pelajar yang lebih besar secara serentak.
Selain itu, metasemesta juga menyediakan persekitaran yang selamat untuk menjalankan eksperimen atau simulasi yang sukar, berisiko tinggi atau mustahil untuk dilaksanakan dalam dunia nyata. Antara aplikasi metasemesta yang sering digunakan dalam pendidikan, termasuklah AR, VR, Lifelogging dan Mirror Worlds.
Metasemesta dan Matematik
Dalam konteks pendidikan matematik, penggunaan metasemesta semakin mendapat perhatian dalam kalangan akademik dan pengamal pendidikan. Hal ini bertepatan dengan potensi metasemesta untuk meningkatkan keupayaan kognitif dan daya tarikan pelajar terhadap mata pelajaran yang sering dianggap mencabar.
Pelajar lazimnya mengalami kesukaran dalam memahami konsep abstrak serta menyelesaikan soalan matematik yang memerlukan pemikiran aras tinggi. Integrasi metasemesta dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat membantu mengatasi halangan tersebut dengan menawarkan pendekatan visual, interaktif dan mendalam.
Sebagai contoh, pelajar mungkin menghadapi kesukaran untuk memahami konsep bentuk tiga dimensi (3D) dan teorem Pythagoras. Aplikasi seperti kad pembelajaran 3D dalam bentuk AR membolehkan pelajar melihat struktur bentuk dengan lebih jelas serta memahami pembentukan formula melalui visualisasi dinamik. Aplikasi ini turut membantu pelajar yang lemah dalam kebolehan ruang (spatial) dan pemikiran logik untuk menguasai kandungan dengan lebih baik melalui sokongan visual dan langkah penyelesaian yang terperinci.
Selain visualisasi konsep, metasemesta juga menyokong dimensi emosi dan nilai dalam pembelajaran matematik. Melalui aplikasi Lifelogging, pelajar dapat melihat sejarah pembelajaran mereka atau algoritma penting secara kronologi. Perkara ini bukan sahaja meningkatkan pemahaman terhadap sesuatu konsep, malah membina hubungan emosi yang erat pelajar terhadap bidang matematik, sekali gus mendorong mereka untuk terus meneroka dengan lebih mendalam.
Tambahan pula, aplikasi seperti Math World VR memudahkan interaksi pelajar dengan kandungan pembelajaran. Aplikasi ini direka bentuk dengan antara muka yang mesra pengguna dan tidak memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi. Oleh itu, pelajar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa diganggu oleh aspek teknikal teknologi. Keadaan ini seterusnya meningkatkan pelibatan aktif dan pencapaian akademik dalam mata pelajaran Matematik.
Secara keseluruhan, metasemesta membuka ruang kepada pembelajaran yang lebih menarik, praktikal dan berasaskan pengalaman. Teknologi ini berpotensi mempercepat proses pemahaman, memperluas akses kepada sumber pembelajaran dan meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran, termasuklah Matematik.
Walau bagaimanapun, kejayaan pelaksanaannya bergantung pada keupayaan untuk menangani cabaran asas seperti infrastruktur, kebolehcapaian dan keselamatan data. Oleh itu, pendekatan yang inklusif dan berhemat amat penting bagi memastikan teknologi ini benar-benar berperanan sebagai pemangkin kepada transformasi pendidikan masa hadapan.
Dr. Malathi Letchumanan,
Pegawai Penyelidik,
Institut Penyelidikan Matematik,
Universiti Putra Malaysia.
Tarikh Input: 15/10/2025 | Kemaskini: 15/10/2025 | norhidayahche

Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang Selangor