Teknologi Pangkalan Data, ICT Dan IT Serta Kaitannya Dengan Statistik Dan Data Analisis | INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK
» ARTIKEL » Teknologi Pangkalan Data, ICT dan IT serta kaitannya dengan Statistik dan Data Analisis

Teknologi Pangkalan Data, ICT dan IT serta kaitannya dengan Statistik dan Data Analisis

Dahulunya, perkataan IT atau Teknologi Maklumat merupakan sesuatu bidang yang giat diperkatakan oleh masyarakat umum yang melihat ianya suatu bidang yang sangat penting. Juga merupakan satu pilihan bidang di universiti terutamanya pada tahun 80an dan awal 90an sebelum bidang ICT atau Teknologi Maklumat dan Pengkomputeran mengambil alih kepopularannya. 

Untuk maju dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, pertanian, hartanah, pendidikan dan sebagainya maklumat penting, maklumat tepat boleh membantu dalam memajukan segala bidang yang diceburi. Perkembangan yang pantas dalam penghasilan komputer yang lebih pantas menyebabkan adanya keperluan dalam menjalankan analisis data yang besar menggunakan komputer. Maklumat yang bertambah banyak dan besar, agar sukar dikendalikan secara manual dan memerlukan alat bantu yang canggih yang dapat membantu dalam menganalisis maklumat secara cepat dan berkesan. Komputer telah mula mendapat peranan yang lebih besar dalam masyarakat. Maklumat yang kompleks dengan kepakaran dalam sistem pengkomputeran menjadi tuntutan. Pelbagai gajet di hujung jari, menjadikan ICT sebagai satu keperluan di suatu masa dahulu. 

Sekarang, kita telah memasuki satu fasa yang lebih besar merangkumi keperluan IT dan ICT di mana maklumat yang lebih dikenali sebagai data telah lebih menonjol. Maklumat adalah suatu sumber secara sehala dan cuma dapat ditafsirkan secara sehala dan lateral sahaja. Sekarang ini data memainkan peranan yang lebih besar, satu data dengan sedikit kemahiran seperti statistik atau data analisis dan sebagainya boleh memberikan pelbagai maklumat dari pelbagai sudut pandang, Satu data yang diperolehi boleh memberikan banyak maklumat dari pelbagai sudut fikir dan aspek. 

Data yang bertambah besar memerlukan kemahiran dalam menguruskannya. Kaedah penyimpanan, urus tadbir, menerbitkan maklumat daripada suatu set data yang besar secara pantas memerlukan teknologi yang melebihi sistem yang sedia ada iaitu IT ataupun ICT. Teknologi tersebut adalah teknologi berkaitan dengan pangkalan data. Teknologi pangkalan data, DT telah merangkumi IT dan ICT. 

Dunia sekarang berdepan dengan jumlah data yang tersangat besar dan ada yang berbilion-bilion jumlahnya sehingga wujudnya istilah perlombongan data. Di dalamnya tersimpan terlampau banyak maklumat dan memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menyusun, menyaring seterusnya menganalisisnya. Sebagai contoh mudah penarafan sesebuah universiti di seluruh dunia adalah berdasarkan kemampuan setiap universiti memberikan data-data yang berkaitan dengan maklumat yang diperlukan. Ketidakupayaan sesetengah universiti memberikan data yang diperlukan secara maksimum menyebabkan kedudukan penarafan universiti tersebut adalah bakal berada dalam kedudukan keterbawah berbanding dengan universiti yang mampu mengadakan dan mengekploitasi teknologi pangkalan data. 

Teknologi pangkalan data, merangkumi beberapa bidang yang berkaitan seperti komputasi dan juga berstatistik. Salah satu cara untuk mendapat maklumat bagi setiap data yang diberikan boleh dikeluarkan dengan analisis teratur dengan menggunakan pengetahuan dalam bidang statistik atau analisis data. Semasa saya (penulis) menghadiri taklimat berkaitan penarafan QS iaitu penarafan sesebuah universiti mengikut subjek berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetap oleh pihak penaraf QS Ranking, penggunaan alatan stastistik mudah seperti nilai purata, jadual kekerapan, peratusan dan juga plot serakan digunakan secara aktif dan serius oleh pihak konsultasi yang dilantik oleh universiti. Bagi mendapatkan hasil yang penarafan yang tinggi dan terbaik, perkara yang perlu ditekankan adalah macamana data yang berkaitan dapat diperoleh dan disimpan secara berkesan. Analisis berkaitan jumlah pernerbitan artikel jurnal yang diambilkira dan juga jumlah sitasi di kalangan rakan sebaya dalam penyelidikan dan juga jumlah sitasi oleh pihak luar kepada artikel penyelidik perlu di lakukan. Analisis berkaitan dengan sitasi sendiri juga boleh dikaji. Analisis berkaitan sitasi rakan sekerja juga boleh di kaji tetapi tidak dapat dilakukan kerana data berkaitan sitasi tidak ada. Kebergantungan kepada pihak luar juga perlu dianalisis. Pihak yang memohon telah berusaha sedaya upaya menyediakan data seterusnya menjadi maklumat berdasarkan kriteria tadi hasil kerjasama semua yang terlibat dalam menghasilkan dan seterusnya memberikan data. Kerjasama setiap entiti atau individu dalam universiti terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menghasilkan input atau data yang diperlukan. 

Pangkalan data bagi setiap penyelidik atau entiti yang boleh memberikan data oleh setiap organisasi dalaman perlu ada. Sebagai contoh setiap universiti di Malaysia sepatutnya perlu dapat memantau penghasilan data oleh setiap ahli akademiknya. Ianya perlu disimpan secara tersusun setiap tahun dan dapat diambil secara terus sekiranya perlu bagi memberikan segala maklumat yang berkaitan dengan maklumat yang digunakan dalam penarafan universiti oleh pihak luar. Kaedah cuba jaya perlu dielakkan. Model yang berkaitan perlu diwujudkan. Pengoptimuman penggunaan data perlu difikirkan. Semua sumber yang berpontesi bagi penghasilan data perlu di lihat kembali dan dikemaskinikan. Teknologi berkaitan dengan pengurusan Pangkalan Data perlu dimantapkan dan diperluaskan skopnya, pengwujudan jawatan seperti Ketua Pengawai Maklumat adalah sesuatu yang tepat pada masanya untuk berperanan lebih berkesan berbanding jawatan tipikal iaitu Ketua Pustakawan. Penggunaan statistik dan kaedah analisis data yang bersesuai sangat-sangat membantu. Cuma penulis ingin melahirkan kebimbangan iaitu adakah kita boleh menyediakan data-data yang berkaitan secara konsisten dan berterusan kerana sistem pangkalan data masih tidak mampan dan tidak difahami sepenuhnya. 

Data yang tersimpan dalam pangkalan data boleh dianalisis dan sudah tentu ada sesuatu maklumat yang tersembunyi ditemui di sebalik data yang banyak itu. Secara kasar, beberapa bidang sebagai contoh Bahasa Melayu, penghasilan artikel dalam penarafan Q1 sehingga 04 sudah tentu tidak ada kaitan secara langsung. Perlu diambil kira semua aspek berkaitan dengan subjek di setiap universiti. Setiap universiti perlu tahu kekuatan masing masing dan kelemahan masing masing. Perlu diakui. Perlu dimaksimumkan kelebihan tersebut dan diminimumkan kelemahan yang ada. Pokok pangkalnya macamana hala tuju teknologi pangkalan data ini hendak diarahkan. Kita semua belum terlambat, tetapi kita mesti bermula pada satu tanggal pada kadar yang segera. 

Semoga dengan perkongsian pendapat ini semua universiti tempatan dapat memantapkan teknologi pangkalan data masing-masing. Banyak kegunaannya pada masa hadapan yang lebih mencabar. Universiti yang mempunyai teknologi pangkalan data yang berkesan dan menyeluruh boleh menguasai dunia dengan maklumat yang lebih tepat dan lebih terkehadapan dalam polisi penyelidikan, pusat rujukan, tumpuan pelajar antarabangsa, reputasi gah dan kemajuan akademik seterusnya menjadi universiti yang bertaraf dunia dalam kedudukan yang tertinggi lagi disegani.

 

 

Prof Madya Dr. Mohd Bakri Adam

 

Penulis merupakan Ketua Laboratori Perkhidmatan Statistik dan Komputasi di Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 24/06/2020 | Kemaskini: 24/06/2020 | noorizzati

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769-6878
00-0000-0000
B1607145727