PUCHONG, 23 Julai 2025 – Seramai 100 orang pelajar Tingkatan 3 dan 4 dari SMK Bandar Puchong Jaya (A) telah menyertai Program Fun with Numbers yang dikendalikan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Karnival STEMVAganza yang berlangsung dengan jayanya.

Program ini diketuai oleh Puan Nur Raidah Salim bersama enam orang Pegawai Penyelidik dan seorang Penyelidik Pasca-Kedoktoran dari INSPEM. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan penguasaan konsep matematik dalam kalangan pelajar melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Pelbagai aktiviti menarik berasaskan konsep matematik telah dijalankan seperti asas nombor, eksplorasi geometri, kod rahsia, dan permainan strategi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan keterujaan dan minat mendalam dalam kalangan pelajar, malah berjaya menjadikan pembelajaran matematik lebih praktikal dan berkesan.


Selain memberi pendedahan langsung kepada pelajar sekolah, program ini juga memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan pihak sekolah serta menyemarakkan semangat komuniti dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat akar umbi.



INSPEM berharap usaha seperti ini dapat terus memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), seterusnya melahirkan generasi celik STEM yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Tarikh Input: 25/07/2025 | Kemaskini: 25/07/2025 | norhidayahche

Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang Selangor