INSPEM Sambutan Hari Matematik Sedunia Bertemakan “Mathematics For A Better World” | INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
» NEWS » INSPEM Sambutan Hari Matematik Sedunia bertemakan “Mathematics for a Better World”

INSPEM Sambutan Hari Matematik Sedunia bertemakan “Mathematics for a Better World”

INSPEM Sambutan Hari Matematik Sedunia bertemakan “Mathematics for a Better World 

Hari Matematik Sedunia atau International Day of Mathematics (IDM) merupakan sambutan hari Matematik yang diraikan seluruh dunia. Hari Matematik Sedunia adalah merupakan satu peluang bagi meraikan kejayaan yang telah dimainkan oleh penyelidik dan pendidik dalam bidang matematik yang menyumbang kepada sains dan teknologi, meningkatkan kualiti hidup, memperkasakan wanita, dan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari Agenda 2030 (SDG1-17) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada November 2019, UNESCO telah mengishtiharkan International Day of Mathematics sebagai hari disambut pada 14 Mac setiap tahun bermula tahun 2020. Tarikh 14 Mac dipilih adalah berdasarkan format penulisan tarikh iaitu bulan/hari yang ditulis sebagai 3/14. Tarikh ini juga adalah berdasarkan tiga digit awal nilai pemalar Pi (π) iaitu 3.14. Sebelum ini tarikh 14 Mac dikenali sebagai hari Pi (π) dan pelbagai sambutan telah diadakan bagi meraikan nilai pemalar Pi (π). Namun ada juga yang menyambut Hari Pi(π) pada 22 Julai berdasarkan nilai pengiraan bulatan 22/7. Nilai ini menunjukkan hubungan antara lilitan bulatan dan diameternya dan dilambangkan dengan pecahan 22/7 yang dinilaikan 3.14159… hingga mencapai 100,000 digit.

Sebelum ini pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memperingati hari tersebut, antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan menghafal nilai Pi(π) yang terpanjang, pertandingan makan pai dan sebagainya lagi. Aktiviti ini dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai nilai Pi (π) dan kepentingannya. Sambutan ini diadakan adalah bertujuan untuk meraikan keindahan dan kepentingan matematik dalam kehidupan seharian kita.

Pada 2020, IDM pertama kali disambut di seluruh dunia dengan bertemakan Mathematics are everywhere. Walau pun krisis pandemik Covid-19 melanda dunia pada tarikh yang hampir sama, tetapi perayaan ini disambut di seluruh dunia dengan agenda norma baharu. INSPEM juga tidak ketinggalan dalam meraikan sambutan ini. INSPEM menyambutnya dengan menganjurkan Seminar Khas Etnomatematik dengan menjemput YBhg. Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain. Beliau telah membentangkan seminar bertajuk Nyayasastera, Hetuwidya dan Mantik dalam bahasa Melayu mendahului Logic dalam bahasa Inggeris terutamanya sehingga abad ke-18M dengan membuktikan bahawa ilmu mantik dalam Bahasa Melayu mendahului ilmu logic dalam Bahasa Inggeris.

Tahun 2021, IDM sekali lagi diraikan dengan bertemakan Mathematics for a Better World. Banyak acara telah dirangka di seluruh dunia. Semua program yang akan dianjurkan akan didaftarkan di sebuah portal yang dikendalikan oleh International Mathematical Union iaitu https://www.idm314.org. Hampir semua negara mengambil bahagian dengan menganjurkan aktiviti yang pelbagai. INSPEM juga tidak terkecuali menganjurkan aktiviti meraikan Hari Matematik Sedunia ini. Terdapat dua aktiviti yang dianjurkan oleh INSPEM iaitu INSPEM's Webinar Mathematics for a Better World yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Sharidan Shafie dengan tajuk Mathematicians in Academia for Society, pelancaran program Bicara Naratif INSPEM yang disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Rezal bin Kamel Ariffin, Pengarah INSPEM. Program ini telah dihadiri seramai 130 orang peserta secara dalam talian.

Semasa pembentangan Dr. Sharidan Shafie, beliau menegaskan bahawa ahli Matematik tidak hanya terlibat dalam bidang akademik sahaja tetapi ahli matematik perlu juga berinteraksi dengan masyarakat dan pemain industri. Beliau yang menjawat sebagai Pengarah di Jabatan Sains Matematik, UTM menerangkan aktiviti dan program yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Sains Matematik dalam mendekatkan masyarakat dengan ahli Matematik. Beliau menegaskan bahawa Matematik memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat dan ia merupakan kunci dalam strategik pembangunan manusia.

Di akhir sesi webinar ini, Pengarah INSPEM telah melancarkan program Bicara Naratif yang menampilkan dua tokoh tersohor negara dalam bidang Matematik iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Kamel Ariffin Mohd Atan dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said. Kedua-dua tokoh ini telah diwawancara di dalam program Bicara Naratif yang disiarkan di media sosial INSPEM, UPM.     

Date of Input: 24/05/2021 | Updated: 24/05/2021 | noorizzati

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769-6878
00-0000-0000
W1VMZODD:14:03