Pertandingan OMUM2024 | INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
» NEWS » Pertandingan OMUM2024

Pertandingan OMUM2024

Serdang, 5 Julai - Pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2024 (OMUM2024) diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar prasiswazah universiti awam dan swasta di Malaysia untuk menguji tahap kemahiran matematik. Selain itu, para peserta juga mendapat pendedahan awal dalam pertandingan matematik. Pertandingan OMUM2024 juga menggalakkan dan mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah matematik dengan kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar universiti di Malaysia. Akhir sekali, pertandingan OMUM2024 adalah sebagai medium untuk mengembangkan potensi dan bakat pelajar untuk menjadi ahli Matematik dan saintis.

 

Pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2024 (OMUM2024) adalah susulan daripada kejayaan penganjuran Pertandingan Olimpiad Universiti Awam 2016 (OMUA2016) dan Pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2022 (OMUM2022). Pertandingan OMUM2024 ini telah berlangsung pada 27 April 2024 untuk Pusingan Kelayakan dan 8 Jun 2024 untuk Pusingan Akhir.  Pusingan Kelayakan telah diadakan secara atas talian, dan Pusingan Akhir diadakan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM. OMUM2024 telah menerima penyertaan sebanyak 203 orang peserta daripada 20 universiti awam dan swasta seluruh Malaysia, di mana seramai 101 orang peserta yang mewakili 16 buah universiti telah melepasi pusingan kelayakan dan telah mara ke pusingan akhir pada 8 Jun 2024.

 

Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Nor Asilah Wati Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM telah merasmikan Pusingan Akhir yang telah diadakan pada 8 Jun 2024 di Dewan Kuliah SPE 1, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM.  Manakala, Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2024 (OMUM2024) disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia. Terdapat tiga (3) pemenang utama iaitu johan, naib johan dan tempat ketiga akan memperoleh hadiah wang tunai beserta piala dan sijil kepujian.  Terdapat sepuluh (10) pemenang saguhati dan satu (1) Anugerah Khas Juri yang akan turut menerima hadiah wang tunai dan sijil kepujian.

 

Setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang Pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2024 (OMUM2024). Johan dimenangi oleh Lim Xu Yao dari Universiti Sains Malaysia, diikuti oleh naib johan iaitu Lim Yu Quan dari Universiti Putra Malaysia. Tempat ketiga dimenangi oleh Chong Ren Hao dari Universiti Tunku Abdul Rahman.

 

Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa pelaksana OMUM2024 yang berjaya mengatur dan membuat persiapan sehingga program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.  Sekalung tahniah juga diucapkan kepada semua warga Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan OMUM2024. INSPEM mempunyai misi untuk menjadi sebuah institut yang terkenal dalam penyelidikan sains matematik yang menyumbang ke arah pembangunan kemajuan dan kesejahteraan hidup sejagat. Sehingga hari ini, INSPEM adalah satu-satunya institut penyelidikan matematik di Malaysia.

 

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada penaja yang terdiri daripada beberapa organisasi, syarikat dan persatuan, seperti UNESCO di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Institut Statistik Malaysia (ISMy), Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia (AISMM), Persatuan Penyelidikan Kriptologi Malaysia (MSCR), SN Technology, Fascom Systems Sales & Services, Persatuan Sains dan Matematik Malaysia (PERSAMA), Nazarul Corporation [M] Sdn Bhd dan KC Lee Auto Services Sdn Bhd. 

 

Tidak lupa juga penghargaan kepada semua universiti yang terlibat dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Universiti Malaysia 2024 (OMUM2024) di atas sokongan terhadap penganjuran program ini.  Ribuan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Panel Soalan OMUM2024 dan Penyelaras di semua universiti yang terlibat dalam OMUM2024 kerana memberi kerjasama yang sangat baik sepanjang program ini berlangsung.

 

Adalah diharapkan agar semua usaha INSPEM, UPM yang dinyatakan di atas akan membawa Malaysia mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif serta inovatif dan berpandangan ke hadapan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada peradaban ilmiah dan teknologi masa depan.

 

Pemenang Johan, Naib Johan dan Tempat ketiga Pertandingan OMUM2024

 

 

10 Pemenang Saguhati 

               

       

       

       

       

 

 

 

Date of Input: 10/07/2024 | Updated: 10/07/2024 | norhidayahche

MEDIA SHARING

INSTITUTE FOR MATHEMATICAL RESEARCH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769-6878
00-0000-0000
F, (04:00:14pm-04:05:14pm, 28 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]